Saturday, April 9, 2011

PERSARAAN WAJIB TN. HAJI MANSOR BIN HAJI AHMAD

SELAMAT BERSARA CIKGU ...... Majlis persaraan wajib Tn. Hj. Mansor Bin Haji Ahmad, Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Melayu telah diadakan pada Rabu bersamaan 06 April 2011 yang lalu. Majlis tersebut berlangsung di bangunan pentadbiran dan perkarangan IPG Kampus Darulaman dalam suasana tenang, harmoni dan penuh bersejarah. Upacara persaraan tersebut dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Haji Othman Azumi Bin Haji Ahmad (Pemenang tempat ke-3, pertandingan Musabaqah Tilawatul Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2010).
Selesai berdoa ...... Tn. Hj. Mansor Bin Haji Ahmad terus diarak ke tempat perakam waktu untuk ‘punch card’ kali yang terakhir sebagai penjawat awam pada 06 April 2011, jam 05.00 petang dalam usia 58 tahun. Hayunan langkahnya masih segak, senyumnya masih memikat, gayanya bak pahlawan, semangatnya cukup kental, tutur katanya alas berlapik, budi bahasa tetap dijunjung. Persoalannya : Adakah kita mampu menggapai usia 58 tahun sebagaimana yang dinikmati oleh beliau?
Selesai ‘Punch Card’ ...... Tn. Hj. Mansor Bin Haji Ahmad telah menandatangai Buku Persaraan yang menandakan beliau telah menamatkan jawatannya dalam perkhidmatan awam pada usia 58 tahun setelah 37 tahun berkecimpung di bidang perguruan. Beliau bertugas selama 16 tahun di sekolah dan 21 tahun di IPG Kampus Darulaman. Usaha terbesar beliau ialah memperjuangkan penubuhan asrama di IPG Kampus Darulaman yang menelan belanja RM 22 juta. Selain itu, Tn. Hj. Mansor Bin Haji Ahmad cukup prihatin tentang perkembangan infrastruktur, prestasi staf dan harta benda JPM. Perjuangan yang cukup ikhlas tanpa mengira masa, tenaga dan wang ringgit amatlah kami sanjungi.
Terima Kasih Cikgu ...... Tn. Hj. Mansor Bin Haji Ahmad telah diarak ke kenderaan untuk pulang. Sebelum itu, beliau telah bersalaman dengan semua pensyarah dan staf IPG Kampus Darulaman memohon ampun dan maaf. Perasaan sedih berbaur gembira dalam kalangan tetamu telah meninggalkan seribu nostalgia kepada IPG Kampus Darulaman. Sebanyak 20 buah kenderaan telah mengiringi beliau hingga ke Kediamannya di Taman Satria, Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Oleh : Azman Aris (JPM)

Wednesday, April 6, 2011